PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU SK JELAWAT


Photo Cube Generator

PIBG SEKOLAH KEBANGSAAN JELAWAT, 16370 BACHOK, KELANTAN DARUL NAIM

PIBG SEKOLAH KEBANGSAAN JELAWAT, 16370 BACHOK, KELANTAN DARUL NAIM
ANAK NADI ASPIRASI KITA. PENDIDIKAN ANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA.

PERLEMBAGAAN PIBG



PENUBUHAN PERSATUAN IBUBAPA DAN GURU


(1)    Maka hendaklah ditubuhkan dalam tiap-tiap sekolah suatu persatuan yang akan dinamakan sebagai  Persatuan Ibu Bapa-Guru (kemudian daripada ini disebut (“Persatuan”) yang terdiri daripada :-
(a) Semua guru yang mengajar dalam sekolah itu;
(b) Ibu bapa kepada murid yang belajar dalam sekolah itu; dan
(c) Guru besar atau pengetua sekolah sebagai anggota Ex-Officio dan Penasihat   
     Persatuan.
(2)     Warganegara Malaysia yang tidak mempunyai anak atau jagaan yang belajar dalam sekolah itu tetapi berminat untuk menjadi anggota Persatuan boleh memohon sama ada kepada Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Bahagian atau Pendaftar (bagi sesuatu Negeri yang tidak mempunyai Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian), untuk menjadi anggota.
(3)     Tiap-tiap ibu bapa dan guru dalam sekolah hendaklah disifatkan sebagai anggota Persatuan.
(4)     Bagi maksud Peraturan-peraturan ini, Persatuan bukanlah suatu persatuan dalam erti mana-mana undang-undang berhubung dengan pendaftaran pertubuhan.



TUJUAN-TUJUAN DAN BATASAN-BATASAN PERSATUAN



(1)    Tujuan-tujuan Persatuan :-
(a)    Untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam sekolah dalam meningkatkan imej sekolah;
(b)    Untuk membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
(c)    Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
(d)    Untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
(e)    Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah untuk berusaha menambah kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran. 
(2)    Kegiatan Persatuan hendaklah diarahkan kepada kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam sekolah di mana Persatuan ditubuhkan.
(3     Persatuan boleh, dengan kebenaran Guru Besar atau Pengetua menganjurkan kegiatan kokurikulum di dalam atau di luar sekolah, dengan menggunakan tenaga mahir atau pakar daripada kalangan anggota atau bukan anggota Persatuan bagi tujuan meningkatkan pencapaian akademik atau perkembangan murid secara menyeluruh.
(4)    Persatuan dibenarkan mengutip apa-apa sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota dan  keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar.
(5)    Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasa Persatuan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah, pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan yang lain dalam sekolah.
(6)    Persatuan tidak boleh menjadi jentera bagi menyelesaikan pertikaian atau perkara-perkara lain yang berkaitan antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua atau kakitangan sekolah di mana Persatuan ditubuhkan atau Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Pendidikan Bahagian atau Jabatan Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan atau Kerajaan Negeri atau Persekutuan.  

ORGANISASI DAN PENGURUSAN

(1)    Persatuan hendaklah ditubuhkan oleh Guru Besar atau Pengetua dalam tiap-tiap sekolah. 
(2)    Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa mengikut perlembagaan Persatuan.
(3)    Jawatankuasa hendaklah mengandungi tidak kurang daripada lima dan tidak lebih daripada lima belas orang anggota yang dipilih dalam mesyuarat agung tahunan Persatuan.
(4)    Tanpa menjejaskan keluasan subperaturan (2), Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar (bagi sesuatu Negeri yang tidak mempunyai Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian) boleh melantik tidak lebih daripada dua orang perseorangan yang bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota jawatankuasa.
(5)     Orang perseorangan yang disebut dalam subperaturan (4) hendaklah orang yang mempunyai integriti, minat dan terbukti boleh menyumbang secara positif kepada kemajuan pendidikan.
(6)    Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian hendaklah mendapat kelulusan daripada Pendaftar berkenaan dengan pelantikan yang dibuat di bawah subperaturan (4). 


PENDAFTARAN  PERSATUAN



(1)    Apabila sesuatu Persatuan telah ditubuhkan oleh Guru Besar atau Pengetua, dia hendaklah mengemukakan kepada Pendaftar permohonan bagi pendaftaran Persatuan sebagaimana yang terkandung dalam Jadual Pertama. 
(2)    Guru Besar atau Pengetua hendaklah mengemukakan beserta permohonan itu salinan draf perlembagaan Persatuan yang memperuntukkan perkara-perkara yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.
(3)    Pendaftar boleh, apabila berpuas hati bahawa permohonan bagi pendaftaran dibuat dengan sewajarnya, mendaftarkan Persatuan dan mengeluarkan perakuan pendaftaran sebagaimana yang terkandung dalam Jadual Ketiga.



HAK PENDAFTAR UNTUK MENGHADIRI MESYUARAT



Pendaftar atau wakil Pendaftar berhak menghadiri semua mesyuarat Persatuan.



KUASA PERSATUAN UNTUK MEMILIKI HARTA, DSBNYA



Persatuan mempunyai kuasa untuk memiliki, mengguna dan melupuskan apa-apa harta alih atau harta tak alih Persatuan yang Persatuan berpendapat akan memudahkan Persatuan menjalankan kuasa dan kewajipan Persatuan menjalankan kuasa dan kewajipan Persatuan di bawah Peraturan-peraturan ini. 



KUMPULAN WANG DAN AUDIT



(1)    Maka hendaklah ditubuhkan dan diuruskan oleh Persatuan suatu kumpulan wang yang ke dalamnya hendaklah dibayar semua derma atau sumbangan daripada mana-mana anggota terhadap tujuan-tujuan Persatuan.
(2)    Persatuan hendaklah menyimpan atau mengarahkan supaya disimpan akaun yang sepatutnya dan rekod-rekod yang lain berkenaan dengan perjalanan Persatuan dan hendaklah juga mengarahkan supaya disediakan penyata kira-kira bagi tiap-tiap tahun kewangan.
(3)    Akaun Persatuan hendaklah diaudit pada tiap-tiap tahun oleh dua orang yang bukan anggotajawatankuasa dan mereka hendaklah dicalon dan dipilih oleh anggota Persatuan.
(4)    Persatuan dengan persetujuan mesyuarat agung tahunan dibenarkan mendapatkan khidmat juruaudit bertauliah bagi tujuan mengaudit akaun Persatuan.
(5)    Guru Besar atau Pengetua dibenarkan memeriksa akaun Persatuan.

No comments:

Post a Comment